Ucap Dasar Presiden PMRAM 2008


UCAPAN DASAR PRESIDEN PMRAM 2008

OLEH SAUDARA KHAIRUL ANUAR BIN ISMAIL
PRESIDEN PMRAM 2008



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله المتفضل المحمود، الرحيم الودود، الملك المعبود المعروف بكمال الكرم والجود، أحمد الله على نعمه الممدود، صلاة وسلاما على سيدي المصطفين الأخيار ، وعلى اله الأظهار ، وأصحابه الأبرار أما بعد

 
Alhamdulillah, kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala di atas anugerah serta limpahan rahmat yang telah diberikan ke atas kita selaku khalifah yang berada di muka bumi Allah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad, penghulu segala Nabi yang terus merintih mengharapkan perjuangan Baginda disahut oleh umat sekalian alam.

 
Rasa syukur tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah yang mengizinkan Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-75 ini berjalan dengan sempurna. Mudah-mudahan perhimpunan tahunan ini menjana kecemerlangan kita selaku persatuan induk di Mesir yang sama-sama memperjuangan kebajikan ahli sama ada secara langsung atau tidak.

Para perwakilan yang dirahmati Allah,

 Tema “JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH” menjadi taruhan PMRAM pada tahun ini. Kematangan PMRAM sepanjang hampir lapan dekad yang lalu memaksa PMRAM tidak pernah culas di dalam memastikan kebajikan, amanah pendidikan serta persaudaraan sesama ahli dapat terus berjalan dengan sempurna.

     “Julang Thaqafah” yang mendahului prosa tema ini menjadi kekuatan PMRAM di dalam memastikan semua ahli tidak leka membawa perjuangan pendidikan yang merupakan misi utama permusafiran kita di bumi Mesir ini.

Ketokohan Syeikh Idris Marbawi yang membukukan Kamus Marbawi, selain kitab Bahrul Mazi yang menjadi sumber rujukan ilmiah pada hari, menyaksikan kelahiran mahasiswa Al-Azhar sebagai seorang tokoh ulama bukanlah suatu yang mustahil.

 Keyakinan, semangat dan usaha mujahadah yang berterusan memungkinkan peluang, ruang dan masa pendidikan kita sebagai mahasiswa akan terus diperkuatkan lagi sebagai momentum ke arah perubahan yang besar.

 TARBIAH PEMANGKIN MAHASISWA BERTAKWA

                Tarbiah ibarat tulang belakang dalam agama Islam. Contoh tarbiah yang terbaik adalah daripada baginda Rasulullah S.A.W. Anak didik yang lahir daripada madrasah baginda adalah para sahabat yang benar-benar memahami Islam secara syumul dan sanggup mempertahankan agama Islam walau terpaksa bergadai nyawa. Mereka benar-benar yakin terhadap janji-janji Allah S.W.T. Mereka yakin dengan kebenaran Islam. Kemuliaan kita adalah dengan Islam. Semestinya Islam yang kita anuti hari ini tidak akan dapat kita rasai nikmatnya jika baginda dan para sahabat tidak berjuang bermati-matian dalam menyampaikan risalah yang suci ini.

Kemunduran umat Islam pada hari ini adalah antara natijah yang terhasil daripada sikap terlalu memandang rendah dan enteng terhadap soal tarbiah serta kerohanian sehingga kita semua terpaksa menanggung akibatnya. Hasilnya, hubungan umat Islam makin jauh dengan al-Khalik, tidak yakin dengan kebenaran ajaran Islam dan tidak mengikuti jalan-jalan yang telah ditinggalkan oleh baginda dan para sahabat. Ulama-ulama kini kian dicaci, dicemuh dan dipandang rendah. Soal-soal yang berkait dengan agama semakin hari telah dikuasai oleh golongan yang tidak sepatutnya. Golongan yang mengetahui ajaran Islam semakin menyepi dan lebih berminat untuk memilih berada dalam zon selesa, tidak mahu menerima ujian yang berat, tidak mahu diuji dengan harta benda dan sebagainya.

Mesir telah menerima kedatangan mahasiswa dan mahasiswi dari Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya. Telah beribu-ribu graduan kita yang pulang ke tanah air. Kain yang putih jika tidak dijaga dengan baik, pasti akan dicemari oleh kotoran-kotoran baik secara sengaja mahupun tidak. Begitulah perumpamaan yang dapat dinyatakan di sini. Realiti yang berlaku kepada mahasiswa dan mahasiswi kita mutakhir ini cukup meruncing dan membimbangkan. Antara masalah yang kian membarah adalah couple yang semakin menular di kalangan kita, keluar dating antara siswa dan siswi, menyalahgunakan kemudahan teknologi terkini seperti SMS tidak syarie, chatting lucah, melihat bahan-bahan porno dan seribu macam yang telah berlaku.

Melihat kepada masalah yang telah berlaku ini, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir semenjak penubuhannya dari dahulu lagi telah merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiah serta kerohanian dalam melahirkan para mahasiswa dan mahasiswi yang benar-benar bermutu sebelum mereka pulang dan terjun ke dalam masyarakat untuk berbakti. Kita mahu menjadikan PMRAM sebagai Al-Azhar yang kedua dalam melahirkan generasi Ulama Rabbani yang akan menyambung risalah agama Islam.

Segala agenda dan perancangan yang telah sama-sama kita rancang pasti tidak akan berjaya sama sekali andaikata tidak ada kerjasama di kalangan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN), Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) dan seluruh ahli PMRAM. Kita semua seharusnya bersama-sama menjayakan program dan segala agenda tarbiah yang telah kita susun.

Walau bagaimanapun, muzakarah berkelompok khususnya sering kali dipandang remeh oleh sesetengah daripada kita. Kita seharusnya perlu menyedari akan kepentingan agenda ini dalam membentuk nilai murni dan peribadi seseorang itu sebelum dia memasuki gelanggang dan medan di Malaysia.

Pada tahun ini kita semua hendaklah merancang dan memikir bagaimana hendak menyelesaikan masalah dalam mengendalikan program muzakarah berkelompok baik dari segi mutu fasilitator, bentuk penyampaian yang terbaik untuk para peserta dan sebagainya.

Kita semestinya bersama-sama menggerak gempurkan kesedaran dalam jiwa hati nurani kita semua agar tarbiah yang bakal dilaksanakan benar-benar berkesan dalam jiwa pemuda dan pemudi kita. Konsep al-Ihsan dan Tawakkal kepada Allah mesti diperkemaskan. Konsep al-Ihsan adalah sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis baginda Rasulullah yang berbunyi:

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Yang bermaksud: “Hendaklah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu.

Kita perlu mempertingkatkan pergantungan yang tinggi kepada Allah ke tahap yang paling maksima. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa individu yang tidak meletakkan pergantungan kepada Allah, sekalipun dia adalah daripada golongan agama, dia akan terus rebah dan tersungkur apabila diuji dengan wang, harta dan pangkat.

WAHDAH PENJANA KEKUATAN

Seluruh mahasiswa dan mahasiswi di semua peringkat perlulah menyedari bahawa dengan ikatan kesatuan yang teguh, kekuatan pasti akan terbina. Ini amat bertepatan sekali dengan apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran Surah Ali Imran ayat 103:

 وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ

yang bermaksud:

“berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah berpecahbelah”

                Oleh itu, segala bentuk proses penjanaan semula ikatan kesatuan antara ahli-ahli dalam Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ataupun Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) perlulah difikirkan bersama melalui aktiviti-aktiviti yang dapat menyatu-padukan seluruh ahli dan sekaligus dapat menghindarkan segala anasir-anasir luar yang dapat memecah-belahkan kesatuan ini.

Di samping itu, komitmen dan kerjasama seluruh ahli di bawah naungan PMRAM amatlah diharapkan dalam menjayakan misi kesatuan dan wahdah yang perlu dilaksanakan tanpa hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan barisan kepimpinan sahaja untuk memerah fikiran dan tenaga untuk memastikan ianya berjaya. Gunakanlah seluruh ruang kosong yang dimiliki oleh diri masing-masing untuk berfikir mengenai cara dan strategi yang mantap untuk mewujudkan wahdah yang berterusan yang bertitik tolak dari kesedaran yang mendalam mengenai peri pentingnya kekuatan kesatuan sebuah organisasi yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Selain itu, tembok pemisah antara kelompok mahasiswa yang bertallaqi dan berpersatuan hendaklah dirobohkan. Sesungguhnya kita tidak mahu lagi mendengar suara-suara sumbang yang memburukkan mana-mana pihak kerana ianya akan memburukkan dan merobohkan ikatan perpaduan sesama ahli. Bahkan selama ini, PMRAM melalui program-program yang dilaksanakannya sentiasa meletakkan satu objektif yang penting iaitu PMRAM ingin melahirkan ahli-ahli yang mempunyai ilmu dan thaqafah tinggi di samping mempunyai ilmu-ilmu pengurusan yang mantap. Maka penggabungan antara ilmu, thaqafah dan pengurusan merupakan aspek yang perlu dititikberatkan memandangkan masyarakat kini amat dahagakan mutiara-muatiara ilmu mahasiswa yang cemerlang dan berjaya dalam segenap sudut gerak kerja untuk membimbing mereka ke arah jalan yang diredai Allah s.w.t.

PMRAM juga menyedari bahawa kehadiran dan pertambahan pelajar-pelajar perubatan yang merupakan bakal intelektual Islam pada masa akan datang banyak mencorakkan warna dan gaya kehidupan mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir ini. Oleh itu, golongan agamawan seharusnya tidak mengambil sikap meminggirkan diri daripada para mahasiswa aliran perubatan bahkan integrasi antara kedua belah pihak perlulah diwujudkan dan diperkasakan sebaik mungkin agar ianya dapat menjamin kesepaduan dalam membentuk daya fikir untuk mewujudkan ummah yang cemerlang satu hari nanti. Ini adalah sebagaimana yang tercatat dalam sejarah Islam yang tidak pernah memisahkan antara ilmu duniawi atau ukhrawi.   

THAQAFAH DIJULANG MAHASISWA GEMILANG

Para perwakilan yang dirahmati Allah,

Kayu ukur kepada kegemilangan seseorang mahasiswa itu adalah bergantung kepada sejauh mana penguasaannya dalam arena keilmuan. Ini kerana nadi bagi kemahasiswaan adalah ilmu dan thaqafah. PMRAM yang merupakan persekutuan yang mementingkan kebajikan masyarakat Melayu di perlembahan Nil ini sangat menyedari tanggungjawab dalam memupuk dan memperkasakan mahasiswa Islam di Mesir dalam arena ilmu pengetahuan.

Atas rasa tanggungjawab di hadapan Allah dalam memikul amanah bagi memastikan para mahasiswa Islam di Mesir agar terus gagah dalam menggendong ilmu, PMRAM akan meneruskan misi thaqafah dan ilmu yang akan terus dicurahkan kepada ahli melalui program-program ilmiah bersama para ulama daripada Mesir khususnya di samping program-program bersifat latihan kepada para mahasiswa Islam di bumi Nil ini yang diharapkan akan menjadi pemangkin utama kepada kebangkitan tamadun ilmu dalam diri para mahasiswa Islam Malaysia di Mesir.

Sebagaimana yang dimaklumi, idea penubuhan Madrasah al-Imam al-Syafie adalah satu idea yang sangat bermakna kepada Badan Pengetahuan Dan Penyelidikan PMRAM 2007 kerana idea ini adalah satu cara yang dicadangkan bagi membasmi penyakit 'buta turath' di kalangan mahasiswa Islam Malaysia di Mesir. Ini berikutan dengan senario kelemahan menguasai ilmu-ilmu Islam yang bersifat turath yang dideritai oleh sebahagian besar para mahasiswa Islam Malaysia di Mesir. Maka atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Badan Pengetahuan Dan Penyelidikan PMRAM 2007 telah menubuhkan Madrasah al-Imam al-Syafie di Kaherah yang menekankan sistem talaqqi terhadap kitab-kitab asas dan ringkas dalam ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Nahu, ilmu Kalam, Usul Fiqh, Fiqh al-Imam al-Syafie dan sebagainya. Hasil usaha murni ini telah menarik minat para mahasiswa yang ingin menguasai ilmu Islam dari peringkat paling asas.

Berikutan dengan sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa Islam di Kaherah, PMRAM akan berusaha untuk melebarkan sayap Madrasah al-Imam al-Syafie ini ke seluruh cawangan al-Azhar al-Syarif sebagai satu usaha agar penyakit 'buta turath' yang akan membantutkan kecemerlangan mahasiswa Islam dalam menguasai dan memahami ilmu-ilmu Islam akan dapat dihapuskan secara total.

PMRAM juga akan berusaha untuk melahirkan budaya pencernaan ilmu di kalangan para mahasiswa Islam di Mesir ini. Ini kerana ilmu yang ditimba tidak akan matang dan sempurna sekiranya permata pengetahuan tersebut dibiarkan tidur di dalam diri penuntut ilmu. Ilmu yang diperolehi perlu untuk dihitamputihkan, diperdebatkan, diperhalusi dan dibentangkan secara serius kepada masyarakat pelajar agar ilmu dan karisma seorang mahasiswa dan cendekiawan Islam dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di Malaysia secara umumnya.

Justeru, PMRAM yang bercita-cita untuk menjadi al-Azhar kedua akan memastikan gelombang pencernaan ilmu ini akan semakin berkembang secara serius bermula sesi 2008. Para mahasiswa akan digasak untuk menghasilkan air tangan mereka berupa kajian ilmiah, penterjemahan kitab-kitab ulama silam serta kontemporari dan penulisan serta penterjemahan manuskrip-manuskrip ulama silam yang masih kekal dalam bentuk manuskrip. Gelombang pencernaan ilmu ini adalah sangat penting kerana para ilmuan adalah masyarakat terulung selepas masyarakat Nubuwwah dan Risalah sebagaimana yang diabadikan oleh sang pencipta di dalam suluhan wahyu Al-Mujadalah ayat 11.

Sudah sampai masanya seluruh individu yang bergelar mahasiswa khususnya mahasiswa Islam Malaysia di perlembahan Nil ini agar kekok di dalam membuang masa dan tidak mahir dan dungu di dalam pekerjaan yang sia-sia. Sudah sampai masanya para mahasiswa serius dalam penghasilan karya ilmu yang bakal ditatap dan diambil faedah oleh masyarakat umum.

Kalian perlu menyoal diri kalian sendiri dalam menyahut cabaran ini. Sudah berapa banyakkah karya ilmu sama ada berupa kajian ilmiah, penulisan buku, penterjemahan dan sebagainya yang telah kalian siapkan untuk menobatkan Islam melalui wacana ilmu? Apakah kalian reda untuk menjadi masyarakat mahasiswa tin kosong yang datang ke perlembahan barakah ini sekadar bersuka ria tanpa ada jiwa besar untuk menjadi ulama dan professional ulung buat Islam tercinta?

Saya menyeru seluruh mahasiswa Islam di Mesir agar menyahut cabaran ini dalam mereka satu ketamadunan baru dan kebangkitan ilmu yang bakal dicorakkan oleh tangan-tangan kita. Ini adalah cita-cita murni PMRAM yang mahu melihat anak bangsanya adalah mahasiswa yang cemerlang yang menggendong ketamadunan ilmu yang tinggi kerana ketamadunan sesuatu bangsa tidak akan mampu untuk bertahan lama sekiranya tidak dipandu dan diimamkan oleh al-Islam yang hanya mampu untuk diterjemahkan melalui suluhan ilmu.

Para ahli yang dihormati,

Seseorang tokoh itu tidak akan mampu untuk menjadi hebat sekiranya dia tidak dipupuk dan diasah. Dengan latihan, pengalaman dan keyakinan yang berterusan, seseorang individu yang inginkan sesuatu cita-cita akan dapat memperolehi apa yang dicitakan.

PMRAM dalam sesi 2008 akan berusaha keras untuk menggandakan lagi usaha dalam menyediakan ruang-ruang yang terbuka luas bagi para mahasiswa dan mahasiswi dalam mengasah bakat dan kemahiran mereka demi menjayakan projek pencernaan ilmu. Para mahasiswa akan digalakkan untuk membentangkan idea dan hasil tangan mereka yang berunsurkan ilmu di hadapan khalayak umum. Usaha yang bakal direalisasikan ini adalah bertujuan untuk memupuk keberanian mahasiswa dan mahasiswi dalam berhujah, memperindahkan teknik pembentangan dan mematangkan idea dan ilmu yang ditimba hasil daripada sesi-sesi kritikan dan perbincangan yang dilalui oleh para mahasiswa.

KECEMERLANGAN AKADEMIK SEBAGAI SENJATA UTAMA

Sidang muktamar sekalian,

Kecemerlangan akademik adalah agenda utama PMRAM. PMRAM sekali-kali tidak tega untuk mengabaikan aspek akademik malah menjadikannya sebagai keutamaan di dalam setiap tindakan dan gerak kerja. Pandangan yang menjadikan persatuan sebagai alasan atau penyebab kepada kegagalan adalah satu pandangan yang tidak benar. Lebih malang lagi, budaya malas menghadiri kuliah, bersikap sambil lewa terhadap pelajaran serta kehilangan fokus dan tumpuan untuk menuntut ilmu di bumi Mesir ini menjadi penyakit yang semakin membarah sehingga menjadikan ia sebagai polimik yang tidak berkesudahan. Kelemahan penguasaan ilmu asas bahasa Arab di kalangan mahasiswa dan mahasiswi semenjak keberadaan mereka di Malaysia juga sedikit sebanyak adalah merupakan antara faktor kepada kegagalan mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar.

Kelemahan menguasai silibus daripada buku-buku kuliah serta kecuaian ketika menjawab peperiksaan tidak terkecuali dalam memberikan sumbangan peratus kepada kegagalan akedemik. Mahasiswa rata-ratanya memberikan alasan bahawa kurangnya pendedahan terhadap teknik menjawab soalan, panduan serta tunjuk ajar di dalam pembelajaran adalah faktor yang menyebabkan kegagalan mereka. Tempoh pengajian yang amat singkat dan hampir dengan peperiksaan juga antara cabaran yang perlu dihadapi dengan penuh bijaksana oleh seluruh mahasiswa baru di sini.

Justeru, sebagai persatuan induk yang mengungguli kecemerlangan akademik, PMRAM berhasrat untuk mengaktifkan ketua-ketua fakulti yang dilantik secara rasmi di Kaherah dan luar Kaherah bagi merancang dan menguruskan kelas-kelas tutorial dan study group selain daripada bertanggungjawab memastikan peratus kelulusan akan meningkat dengan apa jua cara. Penerangan berkaitan dengan teknik sebenar menjawab peperiksaan juga akan digiatkan dari masa ke semasa.

Selain daripada memperkasakan dan memperbanyakkan lagi kelas tutorial di seluruh peringkat, PMRAM juga akan berusaha membuka peluang kepada seluruh mahasiswa untuk menyertai kelas intensif berbayar yang akan mendatangkan tenaga pakar berbangsa Arab untuk memberi sumbangan kefahaman secara jelas terhadap silibus yang diajar di universiti. Kejayaan yang ditunjukkan oleh para peserta program ini yang lepas telah memberikan keyakinan kepada PMRAM untuk mempromosikan kaedah terbaru ini dengan jayanya.

Bagi mahasiswa baru yang hadir ke perlembahan Nil ini, mereka akan disajikan dengan kelas bahasa Arab bagi persediaan awal sebelum melangkah ke alam universiti. Persediaan teknik menjawab peperiksaan Tahdid Mustawa bagi mahasiswa muadalah juga akan diteruskan demi mencipta kejayaan yang pertama apabila tiba di bumi Anbiya.

Angka peratusan kelulusan yang tidak memuaskan tahun ini, tidak melunturkan usaha murni PMRAM untuk menerajui kebajikan khususnya kecemerlangan  kepada seluruh ahli. Walau bagaimanapun kita tidak boleh berasa cukup dengan usaha ini semata-mata. Seluruh ahli PMRAM harus berhempas-pulas untuk menjamin kejayaan cemerlang sepertimana yang disasarkan dalam sasarjaya 70%.

Kedatangan pelajar Malaysia ke Mesir bukan sahaja tertumpu kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ijazah pertama bahkan Mesir telah dibanjiri oleh pencari ilmu di peringkat menengah (Ma'had al-Bu`uth). Matlamat menimba ilmu tidak dapat dinafikan oleh seluruh peringkat yang hadir ke perlembahan ilmu ini. Dengan matlamat yang satu, PMRAM sesi 2008 bukan sahaja akan berusaha meneruskan kecemerlangan bagi pelajar-pelajar peringkat ijazah bahkan PMRAM juga akan memastikan pelajar-pelajar Ma'had al-Bu`uth akan mendapat kepentingan yang sama untuk Kecemerlangan di sini.

Bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia, sudah pasti memerlukan golongan penerus kepada perubahan semasa. Golongan sarjana agamawan juga tidak terlepas dalam merealisasikan hasrat murni ini. Agak sedih apabila majoriti lepasan al-Azhar hanyalah daripada pemegang ijazah pertama dan ini sedikit sebanyak membantutkan lagi usaha tersebut. Kesedaran dan minat mahasiswa Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Mesir tidak dirasai sepertimana yang dirasai oleh para mahasiswa Indonesia khususnya. Galakan universiti al-Azhar untuk meramaikan lagi pelajar di peringkat ijazah lanjutan dengan memudahkan lagi sistem pengajiannya, wujudnya kemudahan pinjaman daripada beberapa institusi kewangan di Malaysia dan yuran pengajian yang murah seharusnya  disahut secara berani oleh seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir untuk melahirkan golongan cerdik pandai yang akan menjadi sumber rujukan masyarakat akan datang.

KEBAJIKAN MAHASISWA DAN MAHASISWI WADAH UTAMA PMRAM

 Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) semakin matang melalui liku-liku perjuangan dalam memberikan kebajikan kepada anak-anak Melayu di Ardul Kinanah. Sumbangannya kepada anak-anak Melayu tidak dapat dinafikan lagi bukan sahaja untuk anak-anak Malaysia bahkan turut dirasai oleh anak-anak Melayu Asia Tenggara yang menuntut ilmu di sekitar bumi Mesir ini. Kebajikan yang dihulurkan tidak terbatas kepada ahli semata-mata bahkan akan disalurkan kepada mana-mana individu yang memerlukan.

 Dewasa ini, anak-anak Malaysia yang melanjutkan pengajian ke Mesir telah dihidangkan dengan kenyataan tidak berasas semata-mata kerana menanam perasaan benci mereka terhadap PMRAM. Acapkali mereka menyatakan PMRAM merupakan sebuah pertubuhan berunsurkan politik yang menentang kerajaan apabila pulang ke Malaysia. Namun segala tohmahan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana PMRAM berdasarkan undang-undang penubuhannya tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam kegiatan berunsurkan politik.

 Sungguhpun terdapat pelbagai spekulasi yang menghujum dan menghentam PMRAM sebagai sebuah persatuan menjurus kepada politik, akan tetapi segalanya itu tidak mematahkan perjuangan PMRAM untuk terus menyalurkan kebajikan dalam apa jua aspek dalam membentuk jati diri para mahasiswa yang lebih berwibawa dan berketerampilan dari sudut ilmu, thaqafah dan nilai tambah yang lain. Semua tekanan yang berlaku pasti akan menjadi pembakar semangat kepada PMRAM untuk terus memperjuangkan kebajikan yang menjadi nadi utama penubuhannya sejak 7 dasawarsa yang lampau.

 Melihat kepada pelbagai situasi yang begitu kompleks tika ini, PMRAM telah melancarkan Dana Apartmen PMRAM semenjak tahun 2006. Dana ini bertujuan untuk mendapatkan sebuah markaz operasi bagi menjalankan program dan aktiviti bermanfaat.


                    Setelah hampir 3 tahun kutipan yang giat dijalankan di semua peringkat, PMRAM menyedari bahawa usaha mendapatkan dana ini tidak seharusnya hanya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan derma semata-mata. Justeru, PMRAM telah merangka beberapa projek untuk membiakkan hasil kutipan yang disumbang melalui beberapa projek terjemahan kitab-kitab yang bermutu. Antara yang sedang berjalan melalui projek ini adalah projek penulisan semula kitab Bahr al-Mazi, karangan Syeikh Idris al-Marbawi dan kitab Ahsan al-Kalam karangan Sheikh Atiah Saqar.

 Keuntungan jangka panjang yang besar melalui penjualan kitab-kitab terjemahan ini dilihat mampu membuka peluang cerah kepada PMRAM bagi mendapatkan markaz beroperasi dalam jangka waktu 10 tahun mendatang. Apabila sasaran untuk mendapat markaz beroperasi ini usai, hasil jualan kitab Bahr al-Mazi yang seterusnya akan dimasukkan terus ke dalam Tabung Kebajikan PMRAM untuk diperuntukkan sepenuhnya kepada ahli-ahli yang lebih memerlukan.

 Antara kebajikan yang sangat dititikberatkan oleh PMRAM saban tahun adalah kebajikan dari sudut kesihatan. Pada tahun ini PMRAM telah membelanjakan sebanyak LE 12,000 kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah. Kebajikan yang diperjuangkan oleh PMRAM tidak terhad kepada ahli semata-mata, akan tetapi meliputi semua anak-anak Malaysia di setiap Badan-Badan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) dalam menghulurkan sumbangan secara berterusan.

Kebajikan yang disumbang juga banyak diperolehi daripada BKAN dan DPM melalui kutipan yang dilancarkan. Derma kilat tersebut sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan kos rawatan. Kesepakatan yang dihubung jalinkan melalui BKAN dan DPM tersebut di bawah naungan PMRAM membuktikan betapa seriusnya soal kebajikan ini dalam kamus perjuangan PMRAM terhadap anak-anak Malaysia di sini.

 Demi untuk mengumpulkan sebanyak mungkin kewangan yang akan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan, PMRAM telahpun memperkasakan Dana Kebajikan PMRAM dengan meletakkan kadar LE 5 setahun ke atas setiap ahli. PMRAM juga menyeru para ahli khususnya yang berada di tanahair untuk kreatif dalam mencari sumber yang akan disalurkan kepada dana kebajikan ini.

 Segala amal dan kebajikan ikhlas yang kita sumbangkan sama ada dalam bentuk material mahupun tenaga tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja. Ia akan dikira sebagai amal kebajikan yang akan memberatkan timbangan pahala kebajikan sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Baqarah ayat 265 yang berbunyi:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاء مَرْضَاتِ اللّه وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

EKONOMI SUMBER KEKUATAN

Para pewakilan dan pemerhati sekalian,

Ekonomi merupakan satu elemen yang penting dalam menentukan kekuatan sesuatu badan atau organisasi. Penilaian sama ada sesuatu organisasi itu kuat atau tidak bergantung kepada sejauh mana organisasi tersebut mampu mengukuhkan ekonomi di samping faktor-faktor lain yang memungkinkan organisasi tersebut menjadi hebat.

Menyedari akan hakikat ini, PMRAM sesi 2008 tidak ketinggalan dalam memajukan sektor ekonomi bagi mengukuhkan lagi ekonomi PMRAM. Bagi merealisasikan matlamat murni ini, PMRAM akan menumpukan kepada tiga item berikut:

1. Menyebar luaskan jaringan ekonomi di peringkat antarabangsa melalui (SMART) dan juga mana-mana badan kerajaan mahupun NGO.

2. Memperkenalkan konsep 'keuntungan dan kerugian ditanggung bersama' berdasarkan sistem ‘mudhorabah’ yang melibatkan antara PMRAM, BKAN dan DPM. Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan konsep bantu-membantu antara ketiga-tiga organisasi ini.

3. Mempelbagaikan pengeluaran produk ekonomi yang bersesuaian. 

MAHASISWI  BERKREDIBILITI MENONGKAH CABARAN

Kemelut yang berkocak dasawarsa ini memaksa mahasiswi Malaysia di Mesir kembali menganalisa tahap potensi diri dari segenap wacana, guna memacu halatuju yang primer dalam mencorak generasi kalis ujian dan tribulasi. Keilmuan yang benar-benar mantap merupakan satu tuntutan yang dipundakkan ke atas bahu setiap mahasiswa dan mahasiswi.

Penguasaan bahasa Arab perlu dipertingkatkan kerana ia adalah asas utama dalam pembelajaran ilmu. Di samping itu para mahasiswi perlu merebut peluang untuk mencari ilmu sama ada di dalam atau di luar madrasah Al-Azhar bagi memastikan survival keilmuan terus berkembang. Kita mendambakan para mahasiswi yang mantap ilmunya dalam menghadapi golongan yang lantang menghina Islam sebagai al-Din yang syumul seperti Sisters In Islam dan sebagainya. Para mahasiswi dari universiti Al-Azhar dan universiti-universiti aliran perubatan adalah bertanggungjawab dalam memastikan agenda thaqafah dan akademik Islam serta ilmu dapat dihayati dan dihadamkan semaksima mungkin. Ini merupakan tanggungjawab dan amanah daripada Allah yang mesti dilunaskan bersama untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

 Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya; Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan mengkhianati amanah sedangkan kamu mengetahui (balasan buruk perbuatan tersebut)

PMRAM juga menyedari bahawa para mahasiswi masih belum dapat mencernakan ilmu yang ditimba secara baik. Kita masih belum memiliki hasil-hasil ilmiah yang dihasilkan oleh seorang mahasiswi. Kita juga jarang melihat mahasiswi yang dapat tampil ke hadapan dan membentangkan hasil kajiannya di hadapan masyarakat pelajar. Selaku seorang muslim dan muslimah, kita telah dihidangkan oleh sejarah nama-nama wanita unggul sepanjang zaman yang merupakan tokoh ulama besar dalam dunia Islam. Saidatina Aisyah sebagai contohnya adalah salah seorang ulama pada zaman sahabat Rasulullah yang memiliki akal yang cerdas dan mempunyai kelayakan dalam berijtihad. Saya kira sudah sampai masanya para mahasiswi untuk tercabar dalam menyumbangkan idea ilmu dan mengasah bakat agar para mahasiswi dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan para mahasiswa dari sudut pencernaan dan penghasilan karya ilmu dan akademik. 

Mutakhir ini kita melihat pelbagai isu yang telah digembar-gemburkan oleh pihak media khususnya dalam isu-isu wanita. Namun kurangnya kesedaran dan sensitiviti di kalangan para mahasiswi khususnya membuatkan isu-isu ini lesu dan tidak dijawab oleh suara para mahasiswi. Mengapakah fenomena ini berlaku? Adakah mahasiswi kita hanya mampu melihat isu-isu ini terpamir dan mereka berpeluk tubuh semata-mata. Ayuh! Para mahasiswi mesti bangkit untuk melakukan satu anjakan paradigama supaya siswi tidak diperlekehkan. Oleh hal yang demikian, kesedaran dan sensitiviti dalam diri perlu digarap dengan lebih efisyen agar segala isu khususnya isu yang berkait dengan wanita dapat didepani dan ditangani oleh para mahasiswi Islam dari pengajian Islam dan aliran perubatan seiring dengan ilmu-ilmu yang telah ditimba di Mesir ini.

Oleh itu, pengkajian secara dinamik yang bersandarkan kepada ilmu turath dan kontemporari serta perkembangan ICT yang semakin canggih dan hebat ini adalah merupakan tiket yang penting dalam kita mendepani isu semasa. Selain itu, keberanian dan kekuatan juga perlu dipertingkatkan dalam kita menjawab isu ummah walau dalam apa jua bentuk sekalipun sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Sidang perwakilan yang dirahmati,

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan kabilah-kabilah untuk kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. (Al-Hujurat: 13)

 Justeru, untuk memastikan PMRAM mampu berdaya saing dengan kemajuan dunia, beberapa hubungan dua hala telah dijalinkan sama ada di peringkat dalam mahupun luar Mesir. Dalam masa yang sama juga HEWI PMRAM telah menjalinkan hubungan dengan mahasiswi Indonesia (WIHDAH), Pattani, Singapura dan Brunei. Hubungan ini telah dimanfaatkan sebaiknya ketika mana HEWI PMRAM telah bekerjasama dengan WIHDAH dalam melaksanakan program Asean Culture. Di samping itu mereka juga telah memberi khidmat melatih pasukan akrobatik HEWI PMRAM sempena A MIND yang telah dijalankan pada bulan Ogos tahun lalu.

Justeru, hubungan ini telah memberi impak yang terbaik dalam membangunkan dan meningkatkan kemahiran mahasiswi dari segenap lapangan. Selain itu, kita juga pernah menjemput ahli PERKEMAS sebagai pengisi program motivasi dan aktiviti-aktiviti lain.

PMRAM melalui saluran HEWI PMRAM akan meluaskan hubungan kemahasiswaan dengan persatuan-persatuan mahasiswi yang berada di Malaysia dan luar negara sama ada di Timur Tengah, Eropah mahupun Asia demi menambahkan pengalaman yang sangat bermanfaat dalam arena kemahasiswaan dan dakwah.

PENGURUSAN BERKUALITI PEMANGKIN PENTADBIRAN BERWAWASAN

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

PMRAM seringkali tertampar dengan beberapa hal berkenaan dengan isu kepimpinan yang kurang berkesan. Impaknya, beberapa program yang dijalankan sama ada dari hal program besar (MEGA) atau program-program kecil tidak didasari dengan pengurusan dan pentadbiran yang cemerlang.

Ini dilihat melalui sistem Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) atau Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang semata-mata mementingkan soal teori malahan perihal praktikal seolah-olah mentah dan tidak kukuh. Banyak program-program rasmi yang dijalankan tidak mengikut format protokol yang telah digariskan melalui sistem protokol majlis rasmi.

Kekadang impak ini lebih terarah kepada majlis sidang yang dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat negara atau negeri yang hadir semata-mata mengadakan majlis ramah mesra kepada mahasiswa di Perlembahan Nil ini.

PMRAM tidak pernah leka di dalam memastikan pentadbiran dan kecemerlangan pengurusan yang strategik ini dilaksanakan. Namun, tiada tokoh-tokoh pentadbir PMRAM yang telah dilatih khusus melalui Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) atau mana-mana agensi swasta yang memungkinkan perlaksanaan sistem ini berjalan dengan baik dan terancang.

Oleh yang demikian, PMRAM berusaha ke arah mencapai kepimpinan cemerlang dengan menyeragamkan sistem pengurusan di peringkat BKAN dan DPM. Melalui seminar pengurusan organisasi yang diseragamkan, PMRAM yakin dan percaya pengurusan yang bakal dirancang selari dengan pentadbiran di peringkat pusat.

Saudara dan saudari sidang perwakilan,

Kepimpinan PMRAM yang diterajui oleh lima belas orang Badan Pengurus dan lima belas orang Ahli Jawatankuasa Tadbir Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) sentiasa menghadapi krisis pengstrukturan yang tidak terancang dan selaras daripada BKAN dan DPM. Perkara ini bukan sahaja menjejaskan pentadbiran PMRAM, manakala pentadbiran BKAN dan DPM juga terbantut.

Hal ini terjadi apabila bidang tugas kepimpinan BKAN mahupun DPM seringkali tidak sama dan seragam sebagaimana kepimpinan di peringkat PMRAM. Ini terbukti apabila tiga bidang tugas di peringkat PMRAM ditumpu oleh seorang AJKT Tadbir di peringkat DPM. Sebagai contoh, Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPM terpaksa menghadiri perjumpaan dengan Ketua Lajnah Pendidikan PMRAM, Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM, dan Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab PMRAM bagi menyelesaikan bidang tugas yang amat besar ini.

Oleh yang demikian, PMRAM berusaha memastikan perkara ini akan diatasi mulai sesi kepimpinan akan datang dengan merombak beberapa kedudukan yang dianggap tidak selari dengan kepimpinan di peringkat BKAN mahupun DPM. Kaedah dan penyelesaian ini sekaligus diharap akan menyelesaikan masalah penstrukturan organisasi ini agar pentadbiran yang dijalankan akan lebih bersistematik dan terancang dengan sempurna.  

MENYEMAI KONSEP BERDIKARI

Para perwakilan dan pemerhati yang berbahagia,

Ekonomi yang teguh dan utuh merupakan pemangkin utama dalam membentuk satu gerak kerja yang berjaya serta mantap di setiap peringkat sama ada di peringkat PMRAM mahupun BKAN dan DPM. Ini tidak dapat dinafikan kerana Rasullah s.a.w sendiri menerima bantuan ekonomi yang begitu banyak dalam menjayakan dakwah baginda melalui para sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar Al-Siddiq dan Abdul Rahman Bin ‘Auff rodiallahu anhum.

Walaupun PMRAM mempunyai sumber ekonomi yang baik dalam menjayakan setiap aktivitinya, namun PMRAM masih memerlukan sumber yang lebih banyak daripada apa yang sedia ada untuk membantu ahli-ahli PMRAM di BKAN dan DPM yang mempunyai masalah sumber ekonomi di peringkat masing-masing. Ini kerana kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Mesir bukanlah datang daripada keluarga yang berada. Kita sering mendengar aduan dan rungutan dari banyak pihak berkenaan masalah dalam mencari sumber yang dapat membantu mereka untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu di bumi auliya ini.

Menyedari hakikat bahawa PMRAM merupakan penaung induk kepada seluruh ahli dan bertanggungjawab untuk membantu mereka, PMRAM telah cuba sedaya upaya untuk merangka strategi dan pelan bertindak yang berkesan untuk mencapai hadaf tersebut demi untuk membantu ahli. Antara projek terbaru adalah pembukuan kitab Bahr al-Mazi yang dijangka akan menghasilkan satu keuntungan yang besar dalam beberapa tahun yang mendatang. PMRAM akan memastikan bahawa laba hasil jualan kitab tersebut setelah dilangsaikan untuk Dana Apartmen PMRAM akan dijadikan sebagai sumber utama yang akan dihabiskan untuk membantu ahli yang menghadapi kesempitan dari sudut wang.

Meskipun begitu, PMRAM menggesa kepada seluruh ahli-ahli PMRAM di BKAN dan DPM untuk menjadikan 'konsep berdikari' dan 'berdiri atas kaki sendiri' sebagai ruh utama dalam menguatkan ekonomi masing-masing dengan tidak hanya bergantung harap kepada bantuan daripada wang zakat dan pinjaman semata-mata.

PENCERNAAN MINDA MAHASISWA DALAM ISU GLOBAL

Mahasiswa yang merupakan masyarakat yang hidup di bawah suluhan ilmu pengetahuan adalah satu masyarakat elit yang menilai apa yang berlaku di sekelilingnya berdasarkan pedoman ilmu. Bukan sekadar memerhati sahaja, mahasiswa yang menyedari keberadaannya adalah merupakan satu hadiah buat kemanusiaan akan memikirkan apakah sumbangan yang dapat dititipnya sebagai satu tindakan balas terhadap peristiwa yang berlaku. Para mahasiswa tidak boleh beku dan dingin terhadap isu kemanusiaan dan isu agama yang berlegar di sekelilingnya. Dia perlu menyedari bahawa dirinya adalah insan pilihan yang diharap-harapkan oleh para manusia sedunia.

Justeru, PMRAM yang merupakan payung kepada masyarakat intelek Muslim Melayu di Perlembahan Nil ini ingin menyasarkan beberapa tindakan untuk mencapai kebersamaan PMRAM dalam isu global.

 Individu Muslim seluruhnya tidak wajar untuk melupai air mata muslim Palestin. Derita Palestin adalah derita kita. Air mata dan tangis mereka adalah perobek jiwa kita. Isu Palestin bukan isu bangsa dan bukan isu nasionalisme Arab tetapi isu Palestin adalah isu umat Islam. Puji dan syukur kepada Allah apabila para pendokong PMRAM yang disayangi menerusi program Projek Sumbangan Amal Palestin (PROSMA) 07 telah berjaya menyumbangkan sebanyak LE 22,000 untuk disalurkan kepada umat Islam Palestin. Ini adalah sebagai usaha awal yang sewajarnya tidak boleh untuk ditempohkan.

Justeru, PMRAM merancang untuk meneruskan usaha sumbangan murni ini tanpa henti. Para ahli mesti memeras otak bagi menatijahkan satu gerak kerja yang lebih tersusun bagi memastikan wang kita akan senantiasa mengalir kepada umat Islam Palestin setiap tahun. Projek-projek ekonomi yang pastinya bakal membuahkan wang mesti untuk diwujudkan agar laba jualan dapat diwaqafkan untuk umat Islam Palestin.

Selain daripada itu, PMRAM akan meneruskan usaha bagi menjuarai isu-isu keagamaan dan kemanusiaan. Gandingan mantap antara pimpinan PMRAM dan pendokong PMRAM pastinya akan menjayakan usaha ini. Setahun ke setahun, PMRAM semakin berani untuk mencurahkan idea dan sumbangan material untuk kesejahteraan sejagat. Usaha yang paling terbaru adalah memorandum yang diserahkan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang memuatkan pelbagai isu dan pandangan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku di Malaysia dan kesulitan yang dihadapi oleh para mahasiswa Malaysia di Mesir.

Selain daripada masalah sejagat yang wajar untuk diambil perhatian oleh PMRAM, PMRAM juga akan berusaha untuk menjalinkan hubungan dengan lebih akrab dengan persatuan-persatuan pelajar Malaysia yang berada di Malaysia dan luar negara. Hubungan intelektual ini penting dalam mencambahkan idea dan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh para mahasiswa Malaysia khasnya yang berada di Malaysia dan luar negara. Sekretariat Mahasiswa Islam Asia Barat (SMART) yang telahpun ditubuhkan perlu untuk diperkasakan peranannya agar penubuhan SMART akan mencurahkan faedah dalam pelbagai aspek. 

KEMAHIRAN TAMBAHAN MODAL UTAMA PENDAKWAH

Saudara dan saudari yang dihormati,

Sesuai dengan pembawakan yang mementingkan soal thaqafah, kita seharusnya  mengasah kemahiran mencerna ilmu yang telah ada. Hal ini dilihat sebagai satu topik yang besar untuk diperbahaskan. PMRAM melihat bahawa seseorang individu itu tidak cukup hanya mempunyai ilmu dalam keadaan dia tidak mampu mengolah atau mencerna ilmu tersebut dengan baik.

Jalan yang difikirkan perlu ialah dengan meningkatkan kesedaran di kalangan ahli seterusnya mengasah bakat mereka dengan beberapa plan yang telah dirancang. Di dalam bidang penulisan ilmiah, plan yang dirancang dipecahkan kepada dua sasaran.

(i)             Sasaran yang pertama adalah memupuk ahli PMRAM agar haloba dengan penghasilan karya penulisan mereka sendiri yang mempamerkan ilmu serta kefahaman warisan ulama al-Azhar dan para mahasiswa aliran perubatan.

(ii)            Sasaran yang kedua pula ialah gesaan PMRAM terhadap ahli agar diperhebatkan gerak kerja penterjemahan karya-karya ulama’ silam mahupun ulama semasa.

Pemangkin berupa 'penerapan kemahiran menulis' perlu diperuntukkan agar hasil yang dipersembahkan adalah berkualiti. Tidak keterlaluan jika dikatakan, PMRAM menginginkan pada satu hari nanti masyarakat di Malaysia menjadikan PMRAM sebagai rujukan ilmu yang berautoriti buat mereka. Cita-cita tersebut tidak akan berjaya tanpa sokongan serta kesedaran dari ahli.

Sebagai bukti, PMRAM telah menjalankan proses analisis serta pembukuan semula kitab Bahr al-Mazi karangan Syeikh Idris al-Marbawi sebanyak 22 juzuk dan usaha tersebut akan membuahkan hasil tidak lama lagi. Inisiatif tersebut berperanan sebagai pemangkin terhadap semangat ahli dalam pencernaan ilmu.

Demi berjalan seiringan dengan tuntutan semasa, kemahiran terhadap teknologi maklumat (ICT) turut diberi perhatian oleh PMRAM. Amat rugi apabila golongan agamawan ketinggalan dalam bidang tersebut. Hal ini kerana ia merupakan medium yang ampuh dalam menyumbang kemajuan umat Islam terhadap bidang ilmu Islam. PMRAM percaya impak yang bakal meledak hasil dari pemerkasaan terhadap kemahiran teknologi maklumat sangat memberangsangkan. Ucapkan selamat tinggal terhadap tohmahan-tohmahan yang mendakwa bahawa golongan agamawan agak ketinggalan dalam bidang teknologi.

Kita seharusnya optimis terhadap usaha yang ingin menjadikan PMRAM sebagai universiti terbuka dalam melahirkan muthaqqaf yang berkaliber. Dalam melahirkan golongan yang bersedia memainkan peranan di tanah air kelak, PMRAM berusaha memberikan pendedahan kepada ahli akan bidang kepejabatan. Tidak dapat dinafikan bahawa tuntutan tersebut sangat diperlukan dan PMRAM cuba memberi yang terbaik. Kepejabatan adalah satu kemahiran yang akan diperolehi secara tidak langsung apabila kita aktif dalam PMRAM, BKAN dan DPM di samping siri-siri pendedahan secara langsung berbentuk seminar.         

JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH

Kegemilangan sebuah tamadun tidak akan terhasil sekiranya penjanaan ilmu dan thaqafah tidak menjadi dasar dan asas yang kuat dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama di samping nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t yang terpasak teguh dalam hati sanubari setiap individu yang menjadi unit dalam masyarakat tersebut. Inilah yang telah dibina dalam tamadun Islam satu ketika dahulu yang telah berjaya memikat hati sejumlah umat manusia di seluruh pelusuk dua pertiga dunia.

Bermula dengan wahyu yang pertama yang telah diturunkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu “bacalah dengan nama tuhanMu yang telah menciptakan” dalam surah al-Alaq, Islam mula melakar sejarah demi sejarah yang agung yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana tamadun lain di dunia.

Sesungguhnya kota-kota besar Islam yang telah dibuka oleh pejuang-pejuang Islam yang menggabung antara ilmu dan jihad seperti Kordova, Kaherah, Krisek, Acheh, Melaka dan lain-lain telah menjadi tempat tumpuan para ilmuan daripada seluruh pelusuk dunia.  Sesungguhnya kemasyhurannya tidak terbina dalam masa sehari dua tetapi pada hakikatnya terhasil daripada suatu proses transformasi yang cukup panjang lagi bersistematik melalui peranan para cendiakawan Islam.

Sidang perwakilan dan pemerhati,

Kehebatan tamadun Islam terdahulu terhasil melalui tangan-tangan ulama’ mujtahidin seperti Imam Abu Hanifah, Imam Maliki, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi di samping sarjana-sarjana agung Islam seperti Al-Haithami, Al-Khawarizmi, Al-Farabi, Al-Kindi, Ibnu Sina dan ramai lagi menjadikan Islam sebagai agama dan cara hidup yang terjaga rapi daripada sebarang unsur yang ingin merosakkannya sepertimana yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran.

Sesungguhnya kekuatan dan kegemilangan umat Islam zaman lampau bukannya tercipta sekelip mata bahkan melalui proses pembinaan dan pentarbiahan insan secara strategik lagi sistematik sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Justeru, tema ‘Julang Thaqafah Bakti Dicurah’ pada Muktamar PMRAM kali ke 75 hari ini  mengambil falsafah dan inspirasi daripada kejayaan umat Islam terdahulu dalam membentuk negara dan masyarakat yang mempunyai nilai thaqafah yang tinggi serta mampu memberikan kebajikan kepada rakyat yang didasari oleh nilai ketakwaan yang tiada tolak bandingnya dalam sejarah manusia.

Oleh itu, enam tunjang kekuatan yang telah digariskan sebelum ini perlu ada pada seluruh ahli PMRAM dalam memastikan objektif dapat dicapai sedaya-upaya mungkin. Dengan menjadikan dua tunjang daripada enam tunjang kekuatan iaitu 'kekuatan ilmu dan thaqafah' dan juga 'kekuatan ekonomi' ditambah pula dengan menjadikan kebajikan yang berterusan sebagai pokok pembawakan PMRAM pada kali ini, diharapkan ianya akan menjadi pencetus kepada kekuatan baru PMRAM untuk menongkah arus perdana.

Melalui pemerkasaan ekonomi yang mapan lagi sistematik ini tentunya PMRAM mampu dan berupaya tinggi dalam menyediakan segala bentuk kebajikan rohani dan material kepada seluruh ahlinya. Dalam masa yang sama budaya ta’awun ‘alal birri wa attaqwa perlu disuburkan dalam jiwa raga dan sanubari seluruh ahli agar objektif utama PMRAM sebagai sebuah persatuan induk yang mengutamakan kebajikan dan memberikan sumbang bakti dalam segenap sudut kepada ahli terus menjadi agenda utama PMRAM dulu, kini dan selamanya.

PENUTUP

Para hadirin sekalian,

Sebagai mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya mengajak seluruh hadirin untuk sama-sama kita berganding bahu bekerjasama di dalam sebarang gerak kerja yang kita lakukan ini.

Usah menoleh ke belakang di dalam memastikan kejayaan dan kemajuan kita selaku mahasiswa yang diamanahkan untuk meneruskan misi dan visi perjuangan menegakkan agama Allah.

Semoga kita akan menjadi pendakwah yang berjaya dengan cemerlang sama ada di dunia dan di akhirat.

Salam Perjuangan Mahasiswa.

KHAIRUL ANUAR BIN ISMAIL

Presiden,

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2008.

MAKLUMAN AM
 
Laman Web PMRAM sedang di dalam penyelengaraan. Harap maklum
TERKINI
 
PMRAM akan mengadakan Himpunan Mahasiswa Tahun Akhir (HEMAT) pada 3 Ogos 2008 (AHAD). Oleh yang demikian, PMRAM menjemput kepada mereka yang berminat untuk mendaftarkan nama terus kepada jawatankuasa HEMAT, Badan dan Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 2008.

Mahasiswa Tahun 3 dan 4 dijemput untuk hadir.
PEJABAT PMRAM
 
Operasi Pejabat PMRAM bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Dibuka setiap hari kecuali hari JUMAAT.

Sila patuhi jadual yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Setiausaha Agung PMRAM 2008 bagi melicinkan gerak kerja ini.

TAKWIM AKAN DATANG
 
26 Julai hingga 31 Julai 2008
Bola Sepak PIALA MALAYSIA

3 Ogos 2008
HIMPUNAN MAHASISWA TAHUN AKHIR

4 Ogos 2008
Kem Latihan Penulis PMRAM

9 Ogos 2008
Program Kolokium Ilmuan (Q) Akhir 2008

16 hingga 19 OGOS 2008
Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK)

25-26 Ogos 2008
Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia (PERMID)
MAKLUMAN AKAN DATANG
 
PMRAM akan membuka permohonan zakat PMRAM. Mahasiswa yang berkelayakan boleh memohon terus kepada PMRAM. Makluman akan diberikan selepas ini.
 
Today, there have been 2 visitors (6 hits) on this page!
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free