Antara halatuju dan matlamat yang telah digariskan bagi mencapai matlamat serta direalisasikan pada sesi ini ialah
* melahirkan mahasiswi yang mampu mencernakan ilmu dengan sebaiknya dan;
* melahirkan mahasiswi Azhariah yang berani serta mampu melontarkan pandangan dalam menjawab isu-isu semasa yang semakin lantang yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Tidak ketinggalan juga, agenda yang tidak pernah dikecualikan iaitu: perlunya kita memapankan serta memantapkan dari sudut tarbiyah. Ini adalah kerana, perancangan musuh-musuh Islam mutakhir ini telah terkena tempiasnya kepada kalangan mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar dan ia semakin menular jika tiada usaha bagi membanterasnya dilakukan. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh semua kerana kewujudan kita di sini adalah untuk melahirkan insan-insan yang akan menjadi benteng serta menghancurkan perancangan musuh-musuh tersebut.
Selain itu, walaupun tema lepas telah menjadi sejarah, namun perlunya kita menggembleng kekuatan dan kesatuan yang teguh di kalangan ahli. Perkara ini perlu dititikberatkan bagi menjamin keutuhan BKAN, DPM dan PMRAM itu sendiri. Insya Allah, pelbagai perancangan, agenda dan inisiatif yang telah disusun bagi memastikan matlamat dan halatuju PMRAM pada sessi ini dapat direalisasikan bersama.
P: Adakah saudari berpendapat bahawa kepimpinan mahasiswi Azhariah perlu melalui anjakan paradigma bagi memenuhi tuntutan semasa pada masa kini; dan bagaimana saudari menilai suasana ini dari pengamatan saudari selaku Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM pada sesi ini?
F: Hari demi hari menuntut muslimat untuk terus mara ke hadapan untuk berdepan dengan pelbagai mehnah yang telah diagendakan oleh kuffar untuk merosakkan umat Islam melalui wanita. Maka dengan perubahan arus mutakhir ini, menuntut kepimpinan Azhariah terus mara ke hadapan bagi menghadapi cabaran yang mendatang. Kepimpinan Azhariah perlu berani untuk mendepani masa bukan kerana semangat namun atas dasar kebenaran yang perlu ditegakkan demi maruah Islam itu sendiri.
Anjakan paradigma ini lebih kepada bersikap terbuka namun berprinsip kerana kita menilai sesuatu suasana mengikut suasana (waqi’e) bukan jangkaan semata-mata selagi ia tidak melanggar batasan syariat Allah. Mungkin ia sesuatu yang baru dan agak janggal untuk disesuaikan namun amanah yang terpundak di bahu kita semua memerlukan kita memanifestasikan teladan yang bijak untuk ditauladani oleh kaum hawa yang sering ditohmah dari pelbagai sudut. Justeru itu, kepimpinan Azhariah mestilah memperlengkapkan diri dengan kemantapan ilmu dan pelbagai kemahiran untuk menawan kembali hati-hati yang memandang lesu tentang keizzahan Islam dan juga sebagai wadah untuk kita memperbaiki jatidiri sebagai seorang pimpinan yang ingin menobatkankan Islam di persada dunia.
P: Untuk akhirnya, apakah harapan saudari terhadap semua ahli PMRAM khususnya mahasiswi Al-Azhar yang berada di Perlembahan Nil ini.
F: Selaku orang yang telah diamanahkan pada sesi ini, saya mengharapkan kesatuan dari semua ahli yang terdiri dari BKAN dan DPM yang pelbagai supaya terus menyokong dan mendokong segala usaha yang dilakukan oleh PMRAM selagi ia tidak bercanggah dengan dasar dan prinsip Islam bagi merealisasikan hadaf serta matlamat PMRAM. Saya juga mengharapkan agar semua ahli PMRAM yang menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini sama ada pelajar jurusan agama atau perubatan mampu untuk memartabatkan serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk dicerna dalam diri masing-masing dan dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam dan masyarakat Malaysia khususnya.
Kami barisan kepimpinan PMRAM sessi 2008 ini, mengharapkan pandangan, idea dan kritikan yang membina dari semua ahli PMRAM untuk sama-sama kita merencana agenda dengan rapi agar ia lebih terancang supaya dapat dirasai oleh semua ahli PMRAM untuk sama-sama kita menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w kerana kita adalah rantaian perjuangan Islam yang tiada berkesudahan.