Berikut disiarkan wawancara wartawan PRISMA PMRAM bersama Presiden PMRAM 2008, Khairul Anuar bin Ismail di pejabat PMRAM baru-baru ini.
P (PRISMA): Apakah halatuju yang saudara ingin bawa PMRAM untuk kali ini?
K (PRESIDEN): Halatuju yang akan saya bawa adalah berdasarkan tema PMRAM kali ini iaitu Julang Thaqafah Bakti Dicurah. Suka saya maklumkan bahawa walaupun tema kita sering bertukar ganti, namun PMRAM tetap berpaksikan kepada tiga dasarnya iaitu tarbiyah, thaqafah dan kebajikan. Berdasarkan kepada tiga paksi inilah PMRAM hingga hari ini masih teguh dan dapat berkhidmat kepada ahli. Selain itu, saya juga bercadang untuk memperkasakan lagi aktiviti kebajikan di kalangan ahli. Untuk makluman semua, kami juga bercadang untuk memperteguhkan lagi ekonomi PMRAM, BKAN dan DPM melalui sistem mudharabah yang bakal dilaksanakan sedikit masa lagi. Tidak ketinggalan juga sebarang aktiviti untuk meningkatkan kecemerlangan ahli dari sudut thaqafah.
P: PMRAM untuk sesi baru ini menyaksikan sedikit perubahan dari sudut organisasi. Boleh saudara terangkan sedikit?
K: Ya. Cuma tidak begitu ketara kerana bilangan anggota Badan Pengurus tetap 15 orang seperti sebelum ini. Begitu juga dengan pihak Hewi. Cuma dari struktur kita membuat sedikit perubahan dengan menambah bilangan Naib Presiden menjadi tiga orang berbanding sebelum ini yang hanya dua orang. Naib Presiden III mengetuai Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan. Selain itu, Timbalan Presiden tidak lagi mengetuai Lajnah Dakwah sebaliknya memegang Lajnah Perancang dan Panitia manakala Naib Presiden I memegang Lajnah Dakwah. Juga berlaku kepada Timbalan Setiausaha Agung yang sebelum ini merangkap Lajnah Pendidikan. Tahun ini, Lajnah Pendidikan digabungkan dengan Badan Komunikasi dan Bahasa Arab menjadi Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa.
Rombakan ini tidak lain tidak bukan hanya untuk memantapkan lagi pengurusan PMRAM. Selain itu, ia ke arah keselarasan portfolio bagi BKAN dan DPM. Kalau kita perhatikan juga, pembahagian tugas kali ini adalah sama rata dari sudut tanggungjawab bagi semua anggota Badan Pengurus. Sebagai contoh, Timbalan Setiausaha Agung tidak lagi memegang apa-apa lajnah yang sememang tugasnya dapat membantu Setiausaha Agung menjalankan tugas-tugas.
P: Adakah saudara berpuas hati dengan pencapaian akademik ahli?
K: Bagi saya, saya masih belum berpuas hati. Semangat untuk terus cemerlang dan menambah kemantapan ilmu itu masih kurang. Namun Insya Allah, kita akan terus berikan bantuan setakat yang termampu.
P: Selaku Pengerusi HEWI PMRAM, apa pandangan saudara terhadap mahasiswi?
K: Alhamdulillah, mahasiswi kita makin ke hadapan dan perubahan akan dilihat sedikit masa lagi.
P: Bagaimana perkembangan hubungan PMRAM dengan mahasiswa di Yaman, Syria dan Jordan selepas setahun berlangsungnya Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT) tahun lalu?
K: Amat baik. Kini kita bekerjasama dalam Sekretariat Mahasiswa Asia Barat (SMART) seperti yang dicapai dalam resolusi PERMIT tahun lalu. Untuk makluman semua, kita sekarang sedang menjalinkan hubungan dengan mahasiswa di Eropah seperti di United Kingdom. Kita sedang merancang untuk mengadakan program bersama. Maklum balas yang kita terima amat baik dan mereka cukup berminat untuk bekerjasama dengan PMRAM.
P: Sebagai Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PMRAM, bagaimana saudara melihat sumbangan PMRAM dalam isu Palestin?
K: Setakat ini kita berjaya menarik ahli bagi menjayakan PROSMA sebagai usaha kita membantu saudara kita di Palestin. Ini salah satu usaha kita termasuk melancarkan kutipan Tabung Palestin ke setiap BKAN dan DPM. Tabung ini akan diteruskan kutipannya. Bagi PMRAM, isu Palestin tetap akan dijadikan isu utama bagi membantu saudara-saudara kita di sana dalam apa jua pertolongan semampu yang boleh.
P: Bagaimana saudara melihat kerjasama BKAN dan DPM?
K: Saya amat berpuas hati atas kerjasama yang diberikan. Harapan saya agar dapat diteguhkan lagi hubungan yang baik ini dari semasa ke semasa. Selain itu, kita harap agar BKAN dapat mengikis sikap taksub kenegerian yang boleh merosakkan perpaduan PMRAM yang dibina selama ini sepertimana yang dipersetujui usul mengenai perkara ini dalam muktamar sanawi baru-baru ini. Begitu juga dengan DPM. DPM seharusnya tidak melangkaui PMRAM dalam apa jua keputusan yang dibuat dan juga perlu menjalinkan hubungan yang baik antara satu sama lain.
P: Kalau dilihat kepada peribadi saudara, saudara kini berada di tahun 4 mustajid. Apakah rahsia yang mungkin boleh dikongsi atas kecemerlangan tersebut?
K: Saya melihat dalam kecemerlangan akademik saya banyak dibantu oleh persatuan. Dengan berpersatuan kita dapat merancang masa dengan baik. Bagi saya, makin banyak masa di persatuan, makin banyak masa untuk saya mengaji. Walaupun berada dalam Badan Pengurus, namun saya tetap berpeluang menghadiri kelas tafaquh di Masjid Al-Azhar bersama mantan Presiden, Ustaz Hairul Nizam dalam kelas Usul Fiqh yang disampaikan oleh Syeikh Syaltut. Walau bagaimanapun pencapaian saya selama ini agak tersasar dari target iaitu mumtaz. Insya Allah, target untuk tahun 4 ini mumtaz. Doakanlah.
P: Akhirnya harapan saudara untuk sesi baru ini?
K: Harapan saya agar semua ahli dapat memberikan sokongan kepada saya dan teman-teman dari Badan Pengurus lain. Kami bukanlah yang layak untuk berada di tempat ini melainkan hanya untuk berkhidmat kepada persatuan yang kita sayangi ini. Tanpa sokongan dan dukungan ahli, siapalah kami untuk menggerakkan PMRAM ini.
|